Perkasakan semangat kepahlawanan



SAMBUTAN Hari Pahlawan diraikan setiap tahun pada tanggal 31 Julai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sambutan diadakan bergilir-gilir sejak tahun 1968 antara PDRM dan ATM, pada tahun ini PDRM sebagai tuan rumah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam perutusannya sempena sambutan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kelmarin meminta masyarakat terus menghayati semangat dan perjuangan yang ditunjukkan oleh para pahlawan tanah air.

Berikut adalah antara inti pati perutusan Khalid sempena sambutan Hari Pahlawan:

Hari Pahlawan atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai 'Heroes Day' atau 'Warriors Day'.

Negara-negara lain di seluruh dunia turut menyambutnya walaupun berbeza tarikh dan secara tradisinya istiadat kemuncak diadakan di Tugu Negara.

Mulai 2010, sambutannya berubah di Dataran Merdeka sehinggalah pada kali ini dan sambutan Hari Pahlawan sebenarnya sudah bermula.

Pada 26 Julai lalu, khutbah khas Hari Pahlawan diadakan di Masjid Negara dan pada 30 Julai majlis berbuka puasa, bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat di Masjid Negara dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pembesar-pembesar negara serta kepimpinan dan anggota PDRM dan ATM.

Pada 31 Julai, kemuncak acara iaitu istiadat sambutan di Dataran Merdeka dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, pegawai-pegawai kanan polis dan tentera, diplomat-diplomat dan kedutaan serta orang ramai.

Tujuan sambutan ini bagi mengenang jasa para pejuang dan pahlawan negara yang sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara tercinta iaitu pengorbanan jiwa dan raga.

Rakyat perlu menghargai pengorbanan para pahlawan kita yang berada di barisan hadapan dalam usaha memerangi pengganas komunis, anasir-anasir subversif serta musuh-musuh negara,

Perjuangan terbaharu pasukan keselamatan PDRM dan ATM adalah semasa Ops Daulat di Lahad Datu baru-baru ini.

Sambutan ini juga untuk memperlihatkan kepada generasi kini dan akan datang bahawa kita sentiasa mengenang dan menghargai jasa para pahlawan yang telah terkorban dan juga menghargai pengorbanan mereka yang tercedera mengalami kecacatan fizikal yang kekal semasa berjuang di medan juang.

Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dan kepercayaan dalam semangat 1Malaysia, bersatu dan bersama-sama memberi penghargaan yang sewajarnya dalam apa jua bentuk sama ada bantuan atau sokongan, kepada pahlawan-pahlawan negara yang masih ada, atau pun kepada balu-balu, keluarga serta waris-waris yang ditinggalkan mereka.

Sebagai mengiktiraf jasa dan pengorbanan pahlawan negara ini, pelbagai penghargaan dan pingat-pingat kebesaran serta keberanian telah dikurnia serta dianugerah kerajaan kepada para pahlawan, seperti pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang merupakan darjah kebesaran tertinggi negara dan pingat keberanian seperti Panglima Gagah Berani (PGB) dan juga pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP).

Sehingga kini jumlah penerima pingat tersebut adalah seperti berikut: SP (7), PGB (15) manakala JPP (30).

Kerajaan juga sentiasa memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada ahli keluarga para pahlawan, termasuk anak-anak dan isteri mereka.

Dalam erti kata lain, kebajikan para pahlawan negara dan keluarga mereka sentiasa menjadi keutamaan dan perhatian kerajaan kita tidak pernah melupakan mereka.

Bersempena sambutan Hari Pahlawan tahun ini, saya ingin menyeru kepada semua peringkat lapisan rakyat, agar meningkatkan lagi semangat patriotisme iaitu semangat sanggup berkorban demi negara, perlu dipupuk dan disemarakkan sepanjang masa.

Kepada para pahlawan yang masih ada, tetapi telah hilang upaya, serta sanak-saudara, pahlawan-pahlawan yang telah kehilangan tempat bergantung diharap agar mereka dapat menempuh ujian dan dugaan hidup dengan penuh ketabahan, kesabaran dan keyakinan.

Kita sentiasa berdoa, agar Allah SWT memberikan rahmat dan hidayah serta kesejahteraan kepada mereka.

Bagi para pahlawan yang masih berkhidmat, diharap teruskanlah khidmat bakti yang murni ini. Ingatlah bahawa harapan masyarakat kepada para anggota pasukan keselamatan adalah cukup tinggi.

Sebagai perisai dan pedang negara jalankanlah amanah dan tanggungjawab ini secara yang terbaik sesuai dengan semangat sumpah ikrar yang telah kita lafazkan sebelum ini.

Saya juga mengambil kesempatan ini menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, agar mempertingkatkan lagi semangat kepahlawanan patriotisme, kesetiaan, kecintaan dan sanggup berkorban utk negara.

Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT semoga negara kita sentiasa dicucuri limpah kurnia dan rahmat-Nya yang berkekalan.

Posted by Campus Insider on 10:31 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "Perkasakan semangat kepahlawanan"

Leave a reply