Jika ada yang pernah mengikuti siaran langsung solat Terawih dari Masjidil Haram Mekah, mungkin kita perasan ada objek putih seperti jambatan yang mengelilingi Kaabah. Ia sebenarnya dikenali sebagai jambatan gantung atau laluan tawaf bertingkat.

Jambatan gantung ini adalah pembinaan Tawaf Bertingkat sementara untuk menampung jumlah jemaah untuk melakukan tawaf ketika projek pembesaran Masjidil Haram dijalankan secara menyeluruh. Pembesaran berkenaaan menyebabkan sebahagian kawasan tawaf di sekeliling Kaabahterpaksa ditutup sementara waktu. Jambatan ini akan dibuka kepada jemaah pada minggu ini.

Tawaf Bertingkat di Keliling Kaabah

Baitullah


Kerja-kerja akhir pembinaan sedang berjalan
Tawaf masih berjalan seperti biasa, walaupun kerja-kerja pembinaan sedang berjalan
Video


PETUGAS hospital memeriksa Jasleen yang mempunyai berat 6.1 kilogram
BERLIN : Seorang bayi mempunyai berat 6.1 kilogram (kg) dan berukuran 57.4 sentimeter dilahirkan di Jerman pada 26 Julai lalu.

Bayi sebesar itu biasa dilahirkan melalui pembedahan Caesarean, tetapi Jasleen dilahirkan secara normal.

Akhbar Der Spiegel melaporkan Jasleen dilahirkan di Hospital Universiti Leipzig dan ibu bayi itu berdepan masalah diabetes yang tidak dikesan.

Keadaan itu yang berlaku pada minggu ke-24 kehamilan boleh menyebabkan saiz bayi membesar lebih daripada biasa.Walaupun kedua-dua ibu dan anak terbabit dalam keadaan baik, Jasleen masih berada di unit rawatan neonatal.

Dia kini secara rasminya menjadi bayi baru lahir terbesar di Jerman memecahkan rekod bayi lelaki bernama Jihad yang dilahirkan di Berlin pada 2011 dengan berat 5.8 kilogram.

Seorang ibu rakyat Britain melahirkan seorang bayi lelaki bernama George dengan berat 6.8kg pada Mac lalu.

George dilahirkan secara semula jadi dan menjadi bayi baru lahir kedua terbesar di Britain.

Yang mengejutkan tiada siapa menyedari ibu George bakal mendapat anak yang besar.

“Dia adalah satu kejutan besar kepada saya.

“Secara jujur, saya tidak ingat langsung. Saya berasa sakit dan kemudian dia keluar. Saya hanya ingat saya meneran dengan kuat,” katanya.

Menurut Buku Rekod Guiness, bayi baru lahir paling berat dilahirkan oleh wanita Kanada Anna Bates pada 1879.

Anak lelakinya mempunyai berat 10 kilogram ketika dilahirkan, tetapi meninggal 11 jam kemudian. - Agensi
Peshawar : Pemberontak Taliban melancarkan mortar dan bom roket dalam satu serangan ke atas sebuah penjara di barat laut Pakistan membolehkan lebih 243 tahanan lari termasuk sekumpulan rakan mereka.

Sekurang-kurangnya 13 orang termasuk enam anggota polis, empat banduan dan dua penyerang terbunuh dalam serangan itu, semalam.

Ia mencetuskan pertempuran tiga jam antara pasukan keselamatan dan militan yang menyamar memakai seragam polis, kata pihak berkuasa.

“Seramai 243 tahanan melarikan diri, enam daripada mereka kemudian ditahan polis. Seramai 30 adalah militan tegar,” kata pegawai kanan kerajaan Mushtaq Jadoon kepada stesen televisyen swasta ARY News.

Serangan berkenaan menyasarkan Penjara Pusat di Dera Ismail Khan, bandar wilayah Khyber Pakhtunkhwa, dekat sempadan Afghanistan tempat militan Taliban dan kumpulan dikaitkan al-Qaeda aktif.

“Kira-kira 150 anggota Taliban termasuk 60 pengebom bunuh diri menyerang Penjara Pusat dan membebaskan tahanan,” kata jurucakap Taliban, Shahidullah Shahid.
Pasang bahan letupan

Pegawai keselamatan berkata, penjara berkenaan menempatkan 5,000 banduan termasuk kira-kira 300 militan terbabit dalam serangan ke atas pasukan keselamatan.

Jadoon berkata, militan memasang puluhan letupan dalam penjara yang kemudian dimatikan pakar bom.

“Anggota polis dan agensi penguat kuasa lain undang-undang sudah memastikan tiada letupan dalam penjara itu,” katanya.

Pihak berkuasa turut mengenakan satu perintah berkurung di bandar itu dan meminta penduduk tinggal dalam rumah.

“Dengan bantuan media, kami merayu penduduk tinggal dalam rumah.

“Ia bagi mengelak sebarang kematian jika tentera, polis dan tentera separa mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Jadoon berkata, kira-kira 50 hingga 60 militan berupaya memasuki penjara serentak dengan serangan roket dari luar.

“Pertama, mereka memusnahkan sebuah kenderaan perisai polis yang diletakkan di pagar hadapan,” katanya menambah bahawa dua anggota polis terbunuh dalam serangan awal roket.

Jadoon berkata, seorang penyerang berjaya ditembak ketika dia cuba melarikan diri.

“Polis membunuh seorang militan yang cuba lari kerana melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan,” katanya.

Pilih presiden baru

Dalam satu peringatan terhadap cabaran besar keselamatan dihadapi Pakistan, keganasan meletus hanya beberapa jam sebelum pembuat dasar negara itu mula mengundi untuk memilih presiden baru negara itu.

Penyandangnya akan menggantikan Presiden Asif Ali Zardari yang bakal melepaskan jawatan, menamatkan penggal lima tahun pemerintahan.

Ini berikutan kekalahan Parti Rakyat Pakistan (PPP) dalam pilihan raya umum Mei lalu dan penggantinya kemungkinan Mamnoon Hussain, sekutu rapat Perdana Menteri Nawaz Sharif.

Taliban mengaku bertanggungjawab atas serangan penjara berkenaan. - AFP
Riyadh: Sebanyak 67 kebakaran di beberapa kawasan di Makkah dalam tempoh 48 jam menyebabkan puluhan orang cedera.

Pengarah Pertahanan Sivil, Brigadier Jen Khalaf Al-Matrafi, berkata pasukan pertahanan sivil berjaya memadamkan semua kebakaran berkenaan.

Beliau berkata, hampir 190 kes rawatan perubatan dilaporkan termasuk membabitkan jemaah umrah.

“Ada yang cedera agak serius dan perhatian utama diberi kepada jemaah Umrah dalam Masjidilharam selain kawasan sekitar. Majoriti kes membabitkan rawatan di Pusat Pertahanan Sivil.

Mangsa dipindahkan ke hospital

“Kes yang memerlukan perhatian anggota perubatan, dipindahkan ke hospital di pusat bandar,” katanya.
Al-Matrafi berkata, jabatannya melakukan lebih 287 pemeriksaan di seluruh bandar bagi memantau dan mengesan sebarang masalah keselamatan di bangunan dan kediaman.

Pasukan pertahanan sivil juga memantau tahap pencemaran udara, pelepasan gas karbon di terowong dan tempat jemaah berhimpun.

“Ada pemilik bangunan dan kediaman yang melakukan pencabulan syarat keselamatan tetapi semua sudah diselesaikan,” katanya. - AGENSI

Baghdad : Bom kereta yang menyasarkan kawasan majoriti Syiah di Iraq membunuh sekurang-kurangnya 48 orang semalam, kata pegawai keselamatan dan perubatan, menjadikan angka korban sepanjang Julai kepada lebih 780.

Lebih 3,000 maut dalam keganasan sejak awal tahun ini, menurut perangkaan AFP berdasarkan sumber keselamatan dan perubatan – peningkatan dalam pergolakan yang gagal dibendung kerajaan Iraq setakat ini.

Semalam, 11 butir bom kereta menggegarkan sembilan kawasan berbeza di Baghdad, tujuh daripadanya di wilayah majoriti Syiah, manakala satu lagi di Mahmudiyah di selatan bandar raya itu.

Dua lagi bom kereta meletup di Kut, manakala dua lagi di Samawa dan satu lagi di Basra, semuanya di selatan Baghdad. Serangan turut mencederakan sekurang-kurangnya 226 orang.

Keganasan semalam berlaku sehari selepas serangan meragut 14 nyawa, antara mereka ialah sembilan anggota polis Kurdis yang maut dalam pengeboman bunuh diri di bandar raya Tuz Khurmatu di utara.
Militan melancarkan dua serangan serentak beberapa hari ini, menunjukkan pencapaian mereka dan kawalan keselamatan yang semakin menurun.

Askar terbunuh

Di TRIPOLI, Libya, sekurang-kurangnya seorang askar terbunuh dalam pertempuran waktu malam di Benghazi, ketika keganasan merebak berikutan pembunuhan seorang aktivis anti puak Islam.

“Pertempuran berlaku di daerah Gwesha antara anggota pasukan khas dengan kumpulan bersenjata tidak dikenali, beberapa jam selepas selepas letupan bom menyasarkan bangunan mahkamah,” kata jurucakap operasi keselamatan, Mohammed al-Hijazy.

Beliau mengesahkan sekurang-kurangnya seorang askar terbunuh, tetapi menegaskan pasukan berjaya mengambil alih kawalan keselamatan Benghazi berdepan keganasan, letupan bom, pembunuhan dan lebih 1,000 banduan melarikan diri dari penjara sejak tiga hari lalu.

Beratus-ratus penunjuk perasaan menyerabng pejabat Ikhwanul Muslimin Libya di Tripoli dan Benghazi dan ibu pejabat sebuah pakatan liberal selepas bantahan bertukar ganas Jumaat lalu.

Tunjuk perasaan dikatakan berpunca daripada pembunuhan pengkritik Ikhwanul Muslimin Abdelsalam al-Mosmary, yang ditembak sejurus selepas meninggalkan sebuah masjid di Benghazi.

Di KAHERAH, penyokong presiden Mesir yang digulingkan Mohammed Morsi, merancang mengadakan satu tunjuk perasaan baru yang diramal menjerumuskan negara ke kancah krisis lebih teruk ketika ketika ketua dasar Kesatuan Eropah mengadakan pertemuan dengan kerajaan dan penentang.

Kumpulan penentang rampasan kuasa ke atas Morsi turut menggesa penunjuk perasaan supaya berarak ke bangunan jabatan keselamatan pada sebelah malam dan merancang perarakan sejuta orang pada keesokan harinya.

Keadaan semakin tegang selepas kematian 72 orang ketika perhimpunan pro Morsi di Kaherah Sabtu lalu.

Sembilan terkorban

Sementara itu di KANDAHAR, sembilan orang terbunuh manakala 15 lagi cedera apabila sebutir bom tepi jalan meletup dan terkena sebuah kenderaan polis di wilayah selatan Afghanistan semalam.

Kejadian berlaku di sebatang jalan yang menghubungkan Kabul dengan Kandahar di daerah Shahjoy di wilayah Zabul, yang kerap menjadi sasaran pemisah Taliban.
Timbalan Gabenor Wilayah, Mohammad Jan Rasoulyar, berkata serangan mengorbankan tiga anggota polis termasuk seorang komander dan enam orang awam. Lima belas orang awam yang berada dekat tempat kejadian turut cedera.