Jika penerbit atau pe­ngarah lain berehat menjalani penggambaran sepanjang bulan puasa, berbeza pula de­ngan Ahmad I­dham Nadzri. Pe­ngarah itu baru selesai menjalani penggambaran filem aksi komedi terbaru, Hantu Nan Sempit pada pertengahan minggu kedua umat Islam berpuasa.

Penggambaran filem bergenre komedi aksi itu berjalan selama 20 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

“Semua yang terbabit dalam filem ini adalah nama besar dalam industri. Bukan mudah untuk mendapat­kan mereka dengan jadual masing-masing yang sibuk. Kebetulan pula mereka lapang pada tempoh seminggu sebelum dan dua minggu dalam bulan puasa.

“Pun begitu, penggambaran filem ini berjalan lancar tanpa masalah. Kebanyakan babak bermula lewat petang sampailah ke malam. Jadi pelakon dan kru tidak terlalu penat kerana kekangan puasa,” jelas Idham.
Pada masa sama, I­dham melihat situasi bekerja pada bulan puasa bagi kru produksi adalah satu kelebihan bagi mereka yang bekerja sepenuh masa dalam bidang ini.

Sekurang-kurangnya, ia membantu dari segi kewa­ngan buat kru produksi yang berkeluarga untuk mencari duit poket lebih menjelang sambutan hari raya. Mengenai Hantu Nan Sempit, sekali lagi pe­nyanyi Hazama Ahmad Azmi dipilih sebagai teraju selepas filem pertamanya Apa Celop Toq mendapat sambutan.

Malah, telefilem pertama lakonan pe­nyanyi itu, Ady Valentino yang mendapat sambutan ketika ditayangkan sempena taya­ngan istimewa tahun baru Disember 2012 di slot cerekarama TV3, turut menjadi sebab pengarah Hantu Bonceng dan Lari itu memilih penyanyi itu sekali lagi.

“Selepas berlakon dalam telefilem itu, saya melihat Hazama mampu berlakon lebih baik. Malah pada filem Lari, Hazama memberi lakonan terbaik walaupun sekadar pelakon pembantu.

“Oleh itu, dari jalan cerita telefilem Ady Valentino, saya ‘putar’ sedikit supaya watak Ady yang dipegang Hazama dulu menjadi lebih besar.

“Bukan senang sebenarnya mencari pelakon bukan komedi yang boleh berlakon komedi. Seperti mana saya membentuk Sam (Shaheizy Sam) dulu dalam filem Adnan Semp-It, daripada pelakon bukan komedi kepada yang boleh berlakon komedi, begitu juga saya cuba lakukan pada Hazama,” jelas Idham lagi.

I­dham akui, Hantu Nan Sempit adalah gabungan elemen kelakar yang pernah diterapkan dalam filem Adnan Semp-It dan Hantu Bonceng. Ia sebagai hiburan buat peminat setia filem arahannya yang dahagakan filem bercorak itu.

Apatah lagi kali terakhir pengarah itu me­ngarah filem aksi komedi ialah Hantu Bonceng pada 2010. Oleh itu, Idham cuba me­ngembalikan impak komedi melalui kombinasi filem Hantu Bonceng dan Adnan Semp-It.

Akan tetapi timbul persoalan, adakah Hantu Nan Sempit ‘parodi’ kepada filem Adnan Semp-It, terutama selepas pengarah itu dikatakan tidak lagi ‘sebulu’ dengan penerbit MIG Pictures, David Teo.

Ditanya soalan berkaitan, Idham menafikannya. Pun begitu, Idham menegaskan, isu itu tidak timbul kerana kalau diikutkan, idea asal Adnan Semp-It adalah daripadanya walaupun filem arahannya itu menjadi hak milik penerbit.

“Suka atau tidak, idea asal Adnan Semp-It datang daripada saya. Produser hanya memegang hak cipta filem, tetapi idea serta garapan penceritaan adalah milik saya.

“Saya boleh cipta satu cerita yang memberi impak komedi seperti ditonton dulu. Kebanyakan filem tempatan yang berjaya setakat tahun ini adalah komedi ringan, contohnya Rock Oo, Bikers Kental dan Hantu Kak Limah 2,” jelas Idham penuh bersemangat.

Selain Hazama, Hantu Nan Sempit yang dijangka ditayangkan awal tahun depan dibintangi Jue Aziz, Sofi Jikan, Anith Aqila, Erin Malek dan Usop Wilcha.

Hazama nafi ‘anak emas’ Idham

Penyanyi yang kini mula bergelar pelakon, Hazama Ahmad Azmi, 29, ketika ditanya mengenai pembabitannya dalam filem ketiga lakonannya selepas filem Apa Celop Toq dan Lari, mengakui teruja atas kepercayaan diberi Ahmad Idham.

Walaupun bidang lakonan bukan pilihan utama, Hazama tidak menolak bidang itu sebagai langkah mudah untuk dirinya lebih dikenali setiap kali muncul dengan single atau album baru.

“Idham mahu beri peluang, apa salahnya saya mencuba. Ia membantu saya sebenarnya untuk lebih menjiwai sesebuah lirik dan lagu itu. Malah, ia juga membantu saya mengatasi masalah pemalu dan segan yang wujud selama ini.

“Lakonan membuka pintu buat saya supaya dikenali khalayak lebih besar selepas ini. Bukan apa, mana tahu jika orang tak nak tengok saya menyanyi lagi, saya ada profil lakonan juga,” katanya.

Hazama yang baru muncul dengan album terbaru Penglipur Lara berkata, penggambaran filem yang dilakukan pada bulan puasa mencabar diri, apatah lagi bukan mudah se­orang anak seni yang fokus utamanya dalam bidang nya­nyian perlu memberi tumpuan sama dalam lakonan.

“Kedua-dua bidang (nya­nyian dan lakonan) memerlukan fokus sama apabila melakukannya. Kebetulan album Penglipur Lara siap sepenuh­nya dan berada di pasaran, bolehlah saya memberi sedikit tumpuan untuk berlakon pula.

“Walaupun pernah bekerja di bawah arahannya sebelum ini melalui filem Apa Celop Toq, Lari dan telefilem Ady Valentino, rasa gementar masih ada kerana saya bukan pelakon profesional, cuma Idham nampak bakat saya, itu saja,” jelas Hazama bersyukur.

Dalam pada itu, Hazama menolak dakwaan dia kini menjadi ‘anak emas’ Excellent Pic­tures walaupun hakikat yang dilihat peminat serta khalayak hiburan tempatan seolah-olah sebaliknya.

Katanya, kebetulan tawaran diterima serasi dengan jadual seni, malah tawaran itu disampaikan secara lisan oleh I­dham sejak awal tahun lagi.

Pun begitu, Hazama tidak menolak kemungkinan menerima tawaran daripada produksi lain jika bersesuaian dengan jadual seni serta watak. Cuma, seboleh-bolehnya dia eng­gan terlalu acap berlakon sehingga mengganggu fokus utama sebagai penyanyi.

“Namun saya tidak nafikan, setakat ini saya selesa bekerja dengan
Idham dan mung­kin itu menjadi faktor kenapa orang mengatakan saya ha­nya berlakon untuk Excel­lent Pic­tures.

“Saya tidak mahu peminat serta orang ramai salah sangka saya mahu menjadi pelakon pula. Berlakon adalah pengalaman berharga buat seorang anak seni.

“Seorang pelakon yang berlakon memberi cetusan rasa kepada penonton, tugas sama dilakukan seorang penyanyi apabila membuat persembahan di atas pentas,” katanya.

Percintaan pelakon cantik Tiz Zaqyah dan seorang pemuda yang juga bekas teman persekolahannya yang dikenali sebagai Daniel Haziq bukan lagi rahsia. Dari awal lagi Tiz memang bersikap terbuka dengan memuatnaik gambar mesra mereka berdua di laman sosial Instagram miliknya.

Kali ini, Tiz sudah mula berani memperkenalkan kekasih hatinya kepada pihak media. Kedatangan Tiz ke majlis sidang media drama bersiri lakonannya, Jodoh Itu Milik Kita ditemani oleh kekasih hati nya itu dan tidak keberatan untuk ditemubual bersama.

“Saya ajak dia dan kebetulan dia kata nak ikut, jadi saya bawalah. Secara tak langsung ini juga sikit sebanyak pendedahan bagi dia tentang dunia kerjaya saya sebagai seorang selebriti.

“Tapi sebenarnya dia sangat okay. Dia lelaki paling releks yang pernah saya kenal. Dari segi soal lakonan saya terutama kalau membabitkan babak romantik, dia okay. Ini kali kedua saya bawa di majlis sebegini”, kata Tiz Zaqyah sambil tersenyum.

Hubungan yang sudah hampir setahun, Tiz mengakui dia dan Daniel ada berbindang soal masa depan perhubungan mereka, namun menyifatkan terlalu awal untuk membawa hubungan itu ke fasa seterusnya iaitu bertunang ataupun berkahwin.

“Alhamdulillah keluarga pun merestui hubungan kami. Ya, kami ada berbincang tapi tak ada apa-apa perancangan lagi. Kami ada sasaran tapi tak tahu lagi bila”, ujarnya ringkas.
Nama Liza Hanim satu nama besar yang tidak asing lagi dalam industri hiburan tanahair. Pernah berada dikedudukan sebaris dengan penyanyi tersohor Siti Nurhaliza dan Ziana Zain suatu ketika dahulu lama menyepi sejak sekitar tahun 2000.

Kini Liza Hanim dilihat kembali aktif dan banyak muncul dalam majlis hiburan. Malah Liza mengakui bahawa dia rindu untuk kembali aktif menyanyi tetapi terpaksa di tangguhkan hasrat tersebut kerana komitment terhadap anak kecilnya yang baru berusia setahun.

“Memanglah saya rindu untuk merakamkan single dan saya ada perancangan ke arah itu. Tapi bukan dalam masa terdekat ini kerana sekarang saya begitu sibuk menguruskan syarikat produksi saya dan banyak terlibat dengan projek pengiklanan,” ujar Liza ketika ditemui di rakaman Melodi Raya, baru-baru ini.

“Saya tak mampu nak kembali aktif menyanyi sekarang sebab baru saja mendapat anak lelaki. Maklumlah, budak lelaki ni aktif dan lasak,” tambah Liza berkongsi kegembiraannya dianugerahkan anak ketiga hasil perkahwinannya dengan Shahrin Samsudin atau lebih dikenali dengan nama Shah Indigo.
Turut mengakui mungkin sukar untuk dia membuat kemunculan semula ekoran terlalu lama menyepi, Liza menganggap itu adalah pengorbanan yang harus ditempuhinya sebagai anak seni.

“Sekarang ni citarasa muzik sudah berubah. Jadi untuk saya kembali menyanyi, saya perlu mengikut trend masa kini. Saya anggap itu pengorbanan dan saya serahkan segalanya kepada Allah SWT,” ujar Liza.
Juara Vokal Bukan Sekadar Rupa teringat teman lelaki yang pergi menghadap Ilahi

Siapa sangka di sebalik senyumannya, penyanyi ini menyimpan kisah duka. Juara program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama, Norhasmidar Ahmad, 27, mengaku dirinya terasa kosong sejak teman lelakinya pergi menyahut panggilan Ilahi dalam kemalangan jalan raya, kira-kira lapan bulan lalu.

Berat berkongsi cerita, apatah lagi Asmidar memang artis low profile, dia seakan cuba mengumpul kekuatan menjawab kisah pemergian insan tersayang yang selama ini dikunci rapi daripada pengetahuan ramai. Siapa tidak sedih apabila hubungan cintanya selama tujuh tahun tidak berakhir di jenjang pelamin.

Simpan kenangan tujuh tahun bercinta 

Asmidar yang popular dengan lagu Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, bagaimanapun reda dengan suratan Ilahi. Belum sedia mencari pengganti, tumpuan dirinya kini lebih kepada kerjaya seni.

“Semestinya saya rasa kehilangannya. Ini kerana kami menjalin hubungan selama tujuh tahun.
Apabila dia pergi, saya dapat rasa tiada orang pertama untuk diucap Selamat Aidilfitri pada pagi 1 Syawal. Sebelum ini, dialah orang pertama yang saya ucapkan, tapi tahun ini tiada lagi.

“Bulan puasa tahun lalu juga kali terakhir kami berbuka bersama. Ketiadaannya sangat terasa. Tahun lalu, kami juga mempunyai baju raya berwarna sama, kebetulan masing-masing menempah persalinan berwarna coklat,” katanya mengimbau kenangan manis bersama arwah teman lelakinya.

Bagaimanapun, Asmidar enggan berkongsi maklumat lanjut mengenai Allahyarham termasuk latar belakang lelaki yang memikat hatinya itu.

Akuinya, setiap kali membuat persembahan di Johor, dia akan singgah di pusara Allahyarham dan melawat keluarga bekas teman lelakinya itu untuk bertanya khabar.

“Jika diizinkan Tuhan, saya akan menziarah lagi pusaranya pada Syawal kelak,” katanya.

Ditanya apakah dia mahu mencari cinta baru atau pengganti, Asmidar tidak mahu memikirkan soal itu.

“Perkara ini masih baru. Saya masih tidak boleh melupakan dia, jadi saya mahu fokus pada karier saya dulu,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama ibu tunggal di Red Box, Pavilion KL, baru-baru ini.

Bantu keluarga jual murtabak di bazar Ramadan

Bakal memasarkan single ketiga, Bila Cinta Ada dari album sulungnya, Kali Pertama selepas Aidilfitri, Asmidar bersyukur buah tangannya itu mendapat sambutan baik.

Menurutnya, biarpun penjualan album fizikal tidak banyak, namun jumlah muat turun secara digital cukup memberangsangkan.

Mengurangkan aktiviti nyanyian pada bulan puasa ini, Asmidar banyak meluangkan masa membantu keluarga menjual murtabak di Bazar Ramadan Wangsa Maju. Setiap tahun, dia akan turun padang untuk sama-sama menjual murtabak, jika tidak terikat dengan jemputan lain.

Tiada bezanya selepas menjadi selebriti, Asmidar memberitahu, sambutan Ramadan dan Syawal keluarganya masih sederhana. Asmidar akan pulang ke Parit, Perak untuk menyambut Aidilfitri bersama sanak-saudara di kampung halaman.