Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang dibiayai kerajaan negeri Kedah sekali lagi menjadi tumpuan apabila pelajarnya membantah keputusan untuk memindahkan fakulti mereka ke tempat lain tanpa notis yang betul.

Seramai 504 daripada 1,200 pelajar terbabit menandatangani
petisyen membantah langkah memindah Fakulti Muamalat (Pentadbiran Islam dan Perbankan) dari Kuala Ketil ke Mergong, kerana mereka tidak menerima sebarang notis bertulis mengenai pemindahan tersebut.

Beberapa wakil pelajar berkumpul untuk menyerahkan memorandum mengenai perkara itu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir.

Zulkifli Osman, seorang jurucakap dari pejabat menteri besar, menerima memorandum tersebut.

Katanya, satu jawapan akan dihantar kepada Kuin tidak lama lagi berhubung bantahan pelajar terbabit.

"Langkah itu telah mengganggu emosi kami, menggangu pengajian
kami dan melibatkan situasi kewangan kami," kata para pelajar fakulti tersebut, yang mahu dikenali sebagai Mahasiswa Prihatin 3K.

"Kami memilih untuk terus berada di Kuala Ketil dan jika Kuin bertegas untuk memindahkan kami, sila beri kami notis bertulis yang betul, jika tidak, ia memberi gambaran buruk tentang pengurusan mereka," kata seorang pelajar dari Sabah, yang merupakan salah seorang wakil yang menyerahkan memorandum kepada Muhkriz, di pejabatnya di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Sementara itu, Bernama melaporkan, ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program Bubur Lambuk anjuran Telekom Malaysia (TM) di Alor Setar, Mukhriz berkata kerajaan negeri akan cuba mencari pendekatan yang terbaik bagi menyelamatkan kemelut kewangan yang dihadapi Kuin.

Katanya pendekatan itu bukan sekadar menyelamatkan Kuin malah bagi memastikan kebajikan semua warga Kuin mendapat pembelaan sewajarnya.

"Kerajaan negeri sedang melihat pilihan-pilihan yang ada supaya Kuin dapat diselamatkan, infrastruktur dan secara fizikal keseluruhannya," kata Mukhriz kepada pemberita selepas merasmikan program Bubur Lambuk anjuran Telekom Malaysia (TM) di Alor Setar hari ini.

Menurutnya apapun pendekatannya, ia tetap mengutamakan kepentingan mahasiswa

iaitu mereka dapat mengikuti pengajian dengan sempurna.

"Kita akan pastikan kepentingan mahasiswa terbela dan ijazah yang diterima laku di pasaran," kata Mukhriz yang menambah ramai mahasiswa dan staf Kolej Universiti itu mengadu menghadapi masalah tempat tinggal.

Beliau berkata walaupun kerajaan membelanjakan RM330 juta bagi membina Kuin masalah kemudahan seperti rumah dan masjid masih gagal dibangunkan.

Katanya masalah itu memberi kesan secara langsung ke atas mahasiswa selain Kuin sendiri gagal berfungsi dengan sempurna sebagai universiti milik kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata sejak Kedah mewartakan fatwa anti-Syiah pada 18 Julai lepas, kerajaan negeri menerima tindak-balas cukup baik daripada rakyat Kedah termasuk ahli-ahli pondok-pondok agama yang bersetuju dengan tindakan itu.

Mereka juga berpendapat tindakan itu tepat bagi membanteras penularan

fahaman Syiah yang memberi kesan negatif termasuk memecahbelahkan perpaduan umat Islam, katanya.

Katanya kerajaan negeri akan terus memberi penerangan agar rakyat tidak terkeliru perbezaan fahaman Syiah dan Ahli Sunnah Waljamaah.

Mukhriz berkata fatwa anti-Syiah sebenarnya telah diwartakan di Dewan Undangan Negeri Kedah pada 1998 selepas dua tahun ia diwartakan di peringkat kebangsaan tetapi tiada tindakan jelas dikenakan kepada orang yang menyebarkannya
JOHOR BAHRU : Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini, berjaya membangunkan teknologi Sistem Pemprosesan Ayam Halal Automatik (SYCUT) berasaskan syariah membabitkan kos RM1 juta.

Ia membabitkan kamera pengesan ringkas yang dipasang berfungsi memantau setiap bahagian rumah penyembelihan yang bersambung terus kepada sistem data dan akses Internet.

"Sistem ini dicipta bertujuan untuk memastikan ayam yang disembelih menepati syarat halal apabila terputusnya urat halkum (saluran penafasan) dan mari' (saluran makanan).

"Sistem berfungsi untuk mengesan status sembelihan menerusi kamera pengesan ringkas yang dipasang dan menghantar imej kepada perisian SYCUT.

"Alat pengesan akan berbunyi jika tahap pemprosesan tidak menepati kaedah halal," katanya di Bangunan Canselori UTM, hari ini.

Rubiah berkata, kaedah lama secara manual bagi mengesan haiwan sembelihan sama ada sah atau sebaliknya mengambil masa lama dan memerlukan fokus tenaga manusia yang ada kalanya tersilap.

"Dengan penggunaan sistem ini, kita hanya memerlukan satu saat untuk mengesan haiwan sembelihan sama ada ia halal atau sebaliknya.

"Malah sistem ini juga menjimatkan masa, kos dan tenaga manusia, ia boleh mencapai pengeluaran ayam antara 1,000 hingga 2,000 ayam sehari," katanya.

Menurut Rubiah, sistem berkenaan dipatenkan pada tahun lalu dan diguna pakai Pusat Pemprosesan Ayam Az-Zain di Semenyih, Selangor.

Teknologi canggih berkenaan akan meningkatkan tahap imej produk halal di Malaysia dan perintis pemantauan produk halal di dunia.
KUALA LUMPUR - Universiti ulung negara dijangka akan meneruskan tradisi jahiliyah mereka dengan mengekalkan budaya 'cheers' semasa Minggu Haluan Siswa 2013 (MHS2013)

Usaha mengubah minggu haluan siswa berkenaan dimulakan pada tahun lepas apabila aktivis daripada Pro Mahasiswa telah memulakan kempen untuk 'mengubah MHS' berkenaan namun gagal

Usaha mengubah MHS ini diteruskan oleh pelajar daripada fakulti Undang-Undang dengan tema 'Ubah MHS' yang mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Pro Mahasiswa Universiti Malaya

Kempen kesedaran berkenaan turut dilakukan di laman sosial Facebook https://www.facebook.com/Ubahmhs2013 dan twitter @UbahMHS2013

Menurut pengurus projek Ubah MHS 2013, Vince Tan berkata, kempen tersebut sebenarnya membabitkan pelajar Fakulti Undang-Undang yang mengambil kelas projek International Humanitarian Rights Law (IHRL) di bawah kendalian pensyarah Dr Azmi Sharom.

"Antara tuntutan kempen ini adalah untuk menghapuskan indoktrinisasi terhadap mahasiswa-mahasiswi (freshes) semasa MHS"

Minggu Haluan Siswa universiti itu mencetuskan kontroversi apabila terdapat aduan pelajar baru sebelum ini yang mengatakan tidak sempat untuk menunaikan solat akibat daripada mengejar masa yang diperuntukan untuk aktiviti 'cheers'.

Ramai mahasiswa universiti berkenaan yang pernah melalui aktiviti cheers berpendapat bahawa 'tradisi' itu tidak melambangkan keintelektualan sebagai mahasiswa dan memalukan universiti nombor satu negara.

Terdapat juga dakwaan bahawa minggu haluan siswa adalah platform untuk menyebarkan ideologi kerajaan UMNO/Barisan Nasional

Seorang pelajar senior yang enggan dikenali turut mengesahkan dakwaan-dakwaan berkenaan berdasarkan pengalaman yang lampau.

"Kita tidak mahu mahasiswa di doktrin dengan ideologi-ideologi yang berat sebelah.Biarlah mahasiswa itu sendiri yang menentukan pegangan politik mereka semasa berada di dalam kampus" tambahnya.
SHAH ALAM – Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Othman A Karim mengesahkan tiada pelajar institusi itu terlibat ajaran Syiah.

Katanya, perkara itu berdasarkan daripada semakan secara terperinci yang dilakukan pihak universiti itu.

“UKM telah buat semakan lanjut dengan pihak berkenaan dan didapati tiada pelajar UKM terlibat berhubung isu Penyebaran Fahaman Syiah di kampus,” katanya pada kenyataan.

Bagaimanapun katanya, pemantauan ketat ke atas pelajar tetap dijalankan bagi elak pelajar terlibat.

“Dalam pada masa sama, UKIVI sentiasa pantau dan pastikan pelajar UKM tidak terlibat fahaman Syiah ini serta penularan fahaman ini dari luar kepada pelajar UKM,” ujarnya.

Terdahulu, Pensyarah di Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Izhar Ariff Mohd Kashim mendakwa faktor penyebaran ajaran Syiah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) adalah berpunca daripada kehadiran pelajar luar terutama dari Timur Tengah terutama dari Iraq dan Iran.

Menurut Izhar Ariff, pelajar terbabit dipercayai bawa ajaran itu dari negara asal dan cuba menyebarkannya di kalangan pelajar tempatan.


PUTRAJAYA : Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mempunyai hospital pengajarnya tidak lama lagi khusus bagi menyediakan kemudahan latihan amali bagi penuntut perubatannya.

Perkara itu akan menjadi kenyataan selepas 17 tahun Fakulti Perubatan UPM dibangunkan apabila Kementerian Kesihatan bersetuju membina hospital dengan kapasiti 400 katil di kawasan seluas 38.4hektar bersebelahan Hospital Serdang, yang dijangka siap pada 2018.

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata pihak universiti memperoleh RM600 juta daripada kerajaan bagi membina hospital itu, yang diharap dapat mentransformasikan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK)sebagai pusat kecemerlangan dan pengajian perubatan untuk melahirkan pakar dan subpakar dengan lebih pesat.

"Ketiadaan Hospital Pengajar yang khusus bagi UPM menyebabkan kemajuan pengajian siswazah dalam bidang klinikal tertangguh selain pembangunan program pascasiswazah, kepakaran dan sub-kepakaran terbatas," katanya pada satu temu bual ekslusif dengan Bernama di pejabatnya di UPM, dekat sini, baru-baru ini.

Beliau berkata Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri, juga memberi kelulusan terhadap cadangan UPM untuk membina kuarters kelas F dan G dan asrama jururawat tahun lepas.

"Bagi mengisi jawatan di hospital berkenaan, tahun lepas UPM memohon kepada Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam, untuk mendapatkan 2,643 tenaga kerja bagi mengisi pelbagai jawatan di hospital berkenaan. Daripada jumlah itu 508 orang adalah daripada kumpulan pengurusan dan profesional manakala 2,135 lagi dalam kumpulan sokongan," katanya.

Dr Mohd Fauzi berkata Hospital Pengajar UPM itu akan memberi pengkhususan kepada empat bidang utama iaitu Kanser, Strok, Zoonotik dan Gerontologi.

Beliau berkata objektif utama penubuhan hospital itu adalah untuk menyediakan kemudahan dan peralatan yang lengkap kepada penuntut fakulti perubatan, meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan masyarakat setempat dan meningkatkan peluang untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang perubatan yang mampu memberi tambah nilai kepada UPM untuk jangka masa panjang.

Menurutnya ia juga berperanan melengkapkan kemudahan dan perkhidmatan Hospital Serdang yang sedia ada seperti di unit kecemasan serta forensik; dan bukannya menjadi pesaing kepada mana-mana hospital; dengan fokus diberikan kepada penyediaan pasukan pakar perubatan yang tidak disediakan Hospital Serdang ketika ini.

Sementara itu Presiden Kesatuan Am UPM (Kepertama), Mohd Zailani Abd Razak berkata pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan pembinaan Hospital Pengajar UPM, yang sememangnya telah lama ditunggu-tunggu warga UPM, dan kewujudannya mampu menaikkan imej UPM dalam bidang perubatan setanding dengan universiti tempatan yang lain.

Katanya perkara ini perlu diberi perhatian memandangkan para pelajar perubatan UPM ketika ini perlu menjalani latihan amali di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Kajang, Hospital Kuala Pilah dan beberapa hospital kerajaan yang lain dan bukannya di Hospital Serdang walaupun ia didirikan di atas tanah milik UPM," katanya.

Beliau berkata sebelum ini usaha Kepertama untuk berjumpa dengan Menteri Kesihatan bagi membincangkan isu itu gagal, dan beliau berharap Menteri Kesihatan yang baharu dilantik, Datuk Seri Dr S.Subramaniam dapat memberi perhatian terhadap isu yang telah lama tertangguh itu.

"Pihak UPM telah memberi sebidang tanah miliknya kepada Kementerian Kesihatan tanpa mengenakan sebarang cagaran tetapi diluluskan dengan syarat yang telah dipersetujui bagi tujuan membangunkan Hospital Serdang dulu.

"Sebagai timbal balas terhadap pemberian tanah itu, pihak kementerian sepatutnya menjadikan hospital berkenaan sebagai pusat pengajian dan kemudahan buat warga UPM, khususnya kepada pelajar bidang perubatan UPM tetapi sehingga kini perkara itu tidak dibincangkan walaupun dibangkitkan banyak kali oleh Kepertama," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan meneliti perkara itu dengan segera kerana ia telah berlarutan lebih 10 tahun tanpa sebarang persefahaman dicapai kerana UPM mampu meningkatkan lagi hasil produktiviti terutamanya penyelidikan dalam bidang perubatan sekiranya mempunyai hospital sendiri yang diuruskan sepenuhnya. -BERNAMA

SHAH ALAM 25 Julai - Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan membina makmal baharu bernilai RM25 juta bagi menggantikan empat buah bilik makmal Fakulti Sains yang musnah dalam kebakaran pada pertengahan bulan ini.

Bagaimanapun Naib Canselor UiTM, Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, tapak pembinaan makmal baharu tersebut belum ditetapkan oleh pihak universiti.

''Kebakaran empat makmal tersebut menyebabkan kerugian hampir RM5 juta dan dengan itu kita menggantikannya dengan membina makmal baharu dengan kos RM25 juta di lokasi lain manakala tapak makmal yang terbakar akan ditebus guna sebagai tempat meletak kenderaan.

''Taksiran kerugian sejumlah RM5 juta itu disebabkan beberapa peralatan makmal untuk memproses bahan uji kaji telah terbakar tetapi kerosakan bangunan tidak seberapa kerana melibatkan kebakaran bangunan separuh papan dan bata berusia hampir 30 tahun," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Rewang Perdana Memasak Bubur Lambuk di pekarangan Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Pada 15 Julai lalu, empat buah bilik makmal yang terletak di sebuah bangunan setingkat Fakulti Sains musnah dalam kebakaran di UiTM kampus Shah Alam di sini.

Kebakaran berlaku kira-kira pukul 4.15 petang ketika tiga pelajar bersama seorang pensyarah serta seorang pembantu makmal menjalankan eksperimen dalam salah sebuah bilik makmal.

Bagaimanapun, kesemua mereka sempat menyelamatkan diri sebaik sahaja menyedari api merebak dari sebuah bilik makmal di tengah bangunan tersebut yang terletak di hadapan Kolej Perindu.

Sahol Hamid berkata, kebakaran tersebut juga menyebabkan simpanan bahan-bahan kimia di dalam empat buah makmal tersebut tidak dapat diguna lagi untuk menjadi bahan uji kaji kerana sudah terdedah pada suhu yang tinggi.

Mengenai program Rewang Perdana tersebut, beliau berkata, program itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan daripada 10 jabatan di bawah pentadbiran UiTM sempena bulan Ramadan tahun ini.

''Seramai 250 orang kakitangan dan pegawai terlibat dengan program Rewang Perdana tahun ini.

''Sebelum ini setiap jabatan mengadakan program berasingan di peringkat jabatan masing-masing tetapi kali ini kita satukan," kata beliau