Pegawai polis dapat 'hadiah' hari raya

Gambar hiasan
PUTRAJAYA 30 Julai - Seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang dipecat sembilan tahun lalu, mendapat 'hadiah' hari raya paling berharga apabila Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan agar dia diterima semula dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak permohonan pihak kerajaan untuk mendapat kebenaran merayu dalam kes terhadap Sattar Jaafar.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Tan Sri Ahmad Maarop, Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Zainun Ali turut memerintahkan pemohon membayar kos RM10,000.

Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pemohon perlu berlaku adil kepada Sattar, 42, jika ingin mengambil tindakan terhadapnya berhubung pembatalan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepadanya.

Pemohon-pemohon yang terdiri daripada Pengerusi Lembaga Tatatertib Suruhanjaya Polis Diraja Malaysia dan dua lagi diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan manakala Sattar diwakili peguam G. Subramaniam Nair dan Ebrina Zubir.

Panel tersebut mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Februari lalu yang menolak rayuan kerajaan.

Dengan keputusan itu, segala ganti rugi iaitu tunggakan gaji dan elaun berserta faedah sepanjang tempoh pemberhentian bermula 18 Ogos 2004, akan ditaksir oleh Penolong Kanan Pendaftar.

Mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Muar, Johor pada 4 April 2011 yang membenarkan permohonan semakan kehakimannya untuk mengetepikan perintah pasukan itu yang memecat Sattar kerana kesalahan khalwat.

Ketika dipecat, Sattar bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sebagai pegawai penyiasat trafik. Bapa kepada empat anak itu kemudian menyara hidup dengan membuat kerja sambilan.

Rentetan pemecatannya bermula apabila Sattar menerima surat tunjuk sebab pada 5 Mei 2004 berhubung keputusan Mahkamah Syariah Johor Bahru pada 14 Ogos 2003 yang mensabitkannya atas tuduhan khalwat. Dia mengaku bersalah dan didenda RM900 atas kesalahan itu.

Surat tersebut menyatakan dia boleh dikenakan tindakan lain tanpa diberhentikan atau menghadapi penurunan pangkat. Dia menjawab surat tersebut pada 18 Mei 2004.

Bagaimanapun, Sattar menerima surat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bertarikh 18 Ogos 2004 yang menyatakan bahawa dia digantung tugas kerana kesalahan khalwat.

Selanjutnya, dia menerima sepucuk surat lagi bertarikh 20 Mac 2006 memaklumkan bahawa dia dipecat berdasarkan Peraturan 33(1) dibaca bersama Peraturan 38(g) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tata Tertib) 1993.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, dia memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 9 Ogos 2007.

Posted by Campus Insider on 3:13 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "Pegawai polis dapat 'hadiah' hari raya "

Leave a reply