KUALA LUMPUR 2 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah membabitkan pelajar rakyat Nigeria yang dipercayai dalang kegiatan itu dengan berselindung di sebalik status mereka sebagai pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini.

Kejayaan ini berikutan penangkapan pelajar berusia 25 tahun itu bersama seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun di Jalan Permai Off Jalan Syed Putra di sini dalam serbuan kira-kira pukul 8 malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, kedua-dua mereka ditahan ketika memunggah sebuah kotak dari sebuah kereta ke kereta lain di tepi jalan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan 17 bungkusan disyaki syabu dalam kotak tersebut seberat 43.7 kilogram dengan nilai harga pasaran kira-kira RM8.74 juta.

"Sindiket didalangi pelajar berkenaan dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan kerjasama warga tempatan bagi pasaran di sekitar Lembah Klang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini
KUANTAN 1 Ogos - Tujuh buah bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan sebuah bot nelayan, hangus dalam kebakaran yang berlaku di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan, di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam.

Kebakaran bermula daripada sebuah bot nelayan yang berada di jeti itu lalu menyambar tujuh bot lain.

Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan menghantar sebuah jentera bomba sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.06 malam dan mengambil masa kurang 10 minit tiba di tempat kejadian tetapi kebakaran ketika itu sudah sukar dikawal kerana bot nelayan yang terbakar, terputus tali dan hanyut, katanya kepada pemberita di sini.

Bot nelayan itu kemudian melanggar barisan bot yang lain dan akibat geselan itu tujuh bot Maritim Malaysia turut hangus.

"Kami berjaya menyelamatkan dua bot Maritim Malaysia dan empat bot nelayan lain daripada turut terbakar.

"Bot Maritim Malaysia yang terbakar itu adalah daripada pelbagai jenis dan pihak kami sedang menyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.

Abdul Wahab berkata, selain Kuantan, tiga jentera bomba dan kira-kira 60 pegawai serta anggota dari Balai Bomba Indera Mahkota, Taman Tas dan Gebeng turut terlibat dalam operasi mengawal dan memadam kebakaran
Gambar hiasan
PUTRAJAYA 30 Julai - Seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang dipecat sembilan tahun lalu, mendapat 'hadiah' hari raya paling berharga apabila Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan agar dia diterima semula dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak permohonan pihak kerajaan untuk mendapat kebenaran merayu dalam kes terhadap Sattar Jaafar.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Tan Sri Ahmad Maarop, Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Zainun Ali turut memerintahkan pemohon membayar kos RM10,000.

Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pemohon perlu berlaku adil kepada Sattar, 42, jika ingin mengambil tindakan terhadapnya berhubung pembatalan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepadanya.

Pemohon-pemohon yang terdiri daripada Pengerusi Lembaga Tatatertib Suruhanjaya Polis Diraja Malaysia dan dua lagi diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan manakala Sattar diwakili peguam G. Subramaniam Nair dan Ebrina Zubir.

Panel tersebut mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Februari lalu yang menolak rayuan kerajaan.

Dengan keputusan itu, segala ganti rugi iaitu tunggakan gaji dan elaun berserta faedah sepanjang tempoh pemberhentian bermula 18 Ogos 2004, akan ditaksir oleh Penolong Kanan Pendaftar.

Mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Muar, Johor pada 4 April 2011 yang membenarkan permohonan semakan kehakimannya untuk mengetepikan perintah pasukan itu yang memecat Sattar kerana kesalahan khalwat.

Ketika dipecat, Sattar bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sebagai pegawai penyiasat trafik. Bapa kepada empat anak itu kemudian menyara hidup dengan membuat kerja sambilan.

Rentetan pemecatannya bermula apabila Sattar menerima surat tunjuk sebab pada 5 Mei 2004 berhubung keputusan Mahkamah Syariah Johor Bahru pada 14 Ogos 2003 yang mensabitkannya atas tuduhan khalwat. Dia mengaku bersalah dan didenda RM900 atas kesalahan itu.

Surat tersebut menyatakan dia boleh dikenakan tindakan lain tanpa diberhentikan atau menghadapi penurunan pangkat. Dia menjawab surat tersebut pada 18 Mei 2004.

Bagaimanapun, Sattar menerima surat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bertarikh 18 Ogos 2004 yang menyatakan bahawa dia digantung tugas kerana kesalahan khalwat.

Selanjutnya, dia menerima sepucuk surat lagi bertarikh 20 Mac 2006 memaklumkan bahawa dia dipecat berdasarkan Peraturan 33(1) dibaca bersama Peraturan 38(g) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tata Tertib) 1993.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, dia memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 9 Ogos 2007.


Kuala Lumpur :
Bimbang dimarahi ibu bapa kerana kerap ponteng sekolah, seorang pelajar lelaki mereka cerita dia diculik sekumpulan empat lelaki dalam kejadian di Jalan Kas Kas, dekat Cheras Jumaat lalu.

Remaja berusia 17 tahun itu bertindak demikian selepas ibunya mengetahui perbuatannya yang sering tidak hadir ke sekolah sebanyak 33 hari.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata ibu remaja itu dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai rekod kehadiran anaknya yang teruk.

“Pada hari kejadian, sekolah menghubungi ibu remaja itu memaklumkan anaknya tidak hadir ke sekolah. Malah sudah 33 hari remaja itu ponteng sekolah.

“Wanita itu cuba menghubungi anaknya namun gagal lalu meninggalkan mesej memberitahu dia sudah mengetahui anaknya ponteng.

“Kerana bimbang dimarahi, remaja itu menghubungi ibunya di sebuah stesen minyak jam 11 pagi mendakwa kononnya diculik sejak 6.20 pagi namun berjaya melepaskan diri,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, semalam.

Remaja itu mendakwa ketika mahu membeli nasi lemak dua lelaki menariknya masuk ke dalam van manakala dua lagi lelaki dewasa berada di dalam van itu.
Menurut Mohan, selain dia, ada dua gadis sedang menangis dipercayai turut diculik di kawasan Cheras sebelum dia berjaya melepaskan diri dan berlari ke arah sebuah stesen minyak.

“Tindakan remaja itu menyebabkan orang ramai risau dan menyusahkan semua pihak. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

“Pelajar itu diambil keterangan pagi semalam dan dia mengaku mereka cerita selain bukti sistem kamera litar tertutup (CCTV) mendapati remaja itu berada di siber kafe dari jam 6.20 pagi hingga 11 pagi,” katanya.