Pelajar reka cerita diculik takut dimarahi
Remaja berusia 17 tahun itu bertindak demikian selepas ibunya mengetahui perbuatannya yang sering tidak hadir ke sekolah sebanyak 33 hari.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata ibu remaja itu dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai rekod kehadiran anaknya yang teruk.
“Pada hari kejadian, sekolah menghubungi ibu remaja itu memaklumkan anaknya tidak hadir ke sekolah. Malah sudah 33 hari remaja itu ponteng sekolah.
“Wanita itu cuba menghubungi anaknya namun gagal lalu meninggalkan mesej memberitahu dia sudah mengetahui anaknya ponteng.
“Kerana bimbang dimarahi, remaja itu menghubungi ibunya di sebuah stesen minyak jam 11 pagi mendakwa kononnya diculik sejak 6.20 pagi namun berjaya melepaskan diri,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, semalam.
Remaja itu mendakwa ketika mahu membeli nasi lemak dua lelaki menariknya masuk ke dalam van manakala dua lagi lelaki dewasa berada di dalam van itu.
Menurut Mohan, selain dia, ada dua gadis sedang menangis dipercayai turut diculik di kawasan Cheras sebelum dia berjaya melepaskan diri dan berlari ke arah sebuah stesen minyak.
“Tindakan remaja itu menyebabkan orang ramai risau dan menyusahkan semua pihak. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.
“Pelajar itu diambil keterangan pagi semalam dan dia mengaku mereka cerita selain bukti sistem kamera litar tertutup (CCTV) mendapati remaja itu berada di siber kafe dari jam 6.20 pagi hingga 11 pagi,” katanya.
0 comments for "Pelajar reka cerita diculik takut dimarahi"