Ibu Chua tidak sangka anaknya maut dalam kemalangan seperti ayahnya
PETALING JAYA : Tan Kuai Neo tidak menyangka akan kehilangan anaknya, Chua Boon Huat, pemain hoki kebangsaan, dalam kemalangan jalan raya pagi ini, tragedi sama meragut nyawa suaminya sembilan tahun lalu.Tan, 64, berkata suaminya, Chua Peng Hock maut dalam kemalangan dengan kenderaan lain ketika menunggang motosikal di Melaka, dan kini anak bongsu kesayangannya pula jadi mangsa kemalangan jalan raya.
"Saya terkejut dengan berita kematian anak saya kerana ayahnya juga pergi akibat kemalangan.
"Teman wanita Chua memaklumkan kepada saya melalui panggilan telefon pada 4 pagi tadi mengenai anak saya," katanya kepada pemberita sambil menangis di Bilik Mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, hari ini.
Chua, 33, maut selepas kereta Proton Perdana dipandunya terlanggar sebuah lori tangki air di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran stesen LRT Kelana Jaya, pada 2.25 pagi.
Mengetahui khabar mengejut itu, Tan bersama keluarganya dari Melaka segera ke Kuala Lumpur sejauh 130 kilometer untuk ke PPUM dan tiba di sini pada 6 pagi. Tan berkata, Chua mempunyai seorang abang dan dua orang kakak.
"Chua adalah seorang anak yang suka bercakap, periang dan taat," katanya.
Bagi Chua, hoki adalah hidupnya kerana anaknya itu meminati dan bermain hoki dalam pertandingan sejak sekolah lagi sehingga mewakili Sekolah Kebangsaan Bandar Hilir, Melaka semasa di darjah empat dan bermain untuk Melaka High School bagi peringkat sekolah menengah, katanya.
"Kali terakhir saya berjumpa dengan Chua adalah pada penghujung Jun lalu, sewaktu dia ada masa lapang dan tiada perlawanan," katanya sambil menambah tiada tanda-tanda pelik ditunjukkan anaknya sebelum kemalangan itu.
Beliau berkata, mayat anaknya akan dibakar pada Isnin ini di Semabok, Melaka.
Suasana pilu menyelubungi bilik mayat hospital itu apabila 10 anggota keluarga mendiang Chua hadir sementara menunggu proses bedah siasat yang selesai pada 10 pagi
0 comments for "Ibu Chua tidak sangka anaknya maut dalam kemalangan seperti ayahnya"